Kundasang, 6 Julai – Industri kreatif semakin pesat berkembang pada hari ini. Atas kesedaran ini , Institut Latihan Islam Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kampus Kundasang telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Asas Reka Grafik dan Infografik pada 5 dan 6 Julai 2022 bertempat di Makmal Komputer, Blok Pentadbiran, ILIM Kampus Kundasang.
Bengkel ini telah disertai seramai 15 orang Pegawai dari JAKIM Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang terlibat secara langsung dengan sosial media dan dibimbing oleh penceramah jemputan iaitu Puan Norlizawati Mohd Akil yang berpengalaman dalam bidang reka grafik.
Matlamat utama program ini adalah untuk memberi pendedahan asas grafik kepada peserta dengan memberikan kefahaman kepada setiap peserta tentang asas grafik dan cara penggunaannya yang komprehensif dan sistematik.
Dengan tema “Memanfaatkan Teknologi Demi Kemajuan Ummah”, sesi pertama bengkel dimulakan dengan pengenalan Asas Reka Grafik diikuti dengan tutorial mengedit gambar. Peserta juga diajar teknik reka bentuk dan pembangunan poster. Para peserta sangat tekun mengikuti sesi tutorial ini dan bengkel tampak hidup dengan coletah tenaga pengajar yang bersahaja.
Bagi memberi kelainan dan pendedahan praktikal kepada peserta, mereka diberi projek untuk mereka bentuk poster dengan memanfaatkan kata-kata hikmah kemudian setiap hasil sentuhan kreativiti mereka akan dipaparkan di media sosial Jabatan.
Semoga peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para peserta bagi mempromosikan aktiviti Jabatan masing-masing.
“Ingat Latihan Ingat ILIM”