Bangi, 4 Julai – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah melaksanakan Kursus Kompetensi Fungsian Khusus (KFK) pada 28 hingga 30 Jun 2022 bersamaan 28 hingga 30 Zulkaedah 1443 bertempat di ILIM Kampus Utama Bangi. Seramai 22 orang Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) Gred S44 dari pelbagai Bahagian di JAKIM telah menghadiri kursus selama tiga (3) hari ini.
Pada kali ini ‘Kursus Ulum Al-Hadis’ di bawah teras Al-Quran dan Al-Hadith telah ditawarkan kepada PHEI Gred S44 sebagai satu dari beberapa kursus dalam KFK. Kursus ini adalah salah satu kursus wajib kepada pegawai gred S44 bagi memenuhi sekurang-kurang empat (4) kompetensi bidang teras yang digariskan dalam Pelan Latihan JAKIM 2020-2025 (TRM JAKIM 2020-2025).
Dua (2) orang penceramah yang diundang untuk berkongsi ilmu dalam kursus ini ialah Prof. Dr. Mohd Fauzi bin Mohd Amin dan Dr. Helimy bin Aris dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Antara perkongsian yang disampaikan ialah pengenalan ulum al-hadis dan pembahagiannya. Penceramah juga telah menimbulkan kesedaran kepada peserta mengenai tanggungjawab memelihara hadis Nabi SAW, selain memperkasakan komitmen dan sikap peserta dalam mempertahankan hadis Nabi SAW.
Dari perbualan peserta, mereka telah faham dan sedar untuk membersihkan hadis Nabi SAW daripada sebarang elemen yang tiada kaitan dengannya.
“INGAT LATIHAN INGAT ILIM”