Bangi, 23 Jun 2022 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Kursus Kemahiran Kepimpinan: Perubahan dalam Organisasi dari Kaca Mata Islam bertempat di Bilik Kuliah Al-Khawarizmi, Blok Akademik B pada 21 hingga 23 Jun 2022. Kursus ini dihadiri oleh seramai 33 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (PHEI), JAKIM, MAIN, JAIN serta agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan pegawai dari pelbagai agensi.
Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman dan kemahiran berkaitan perubahan dalam organisasi berdasarkan kaedah tertentu untuk memastikan usaha dalam sebuah organisasi mencapai matlamat secara efektif. Sepanjang kursus ini, peserta didedahkan berkaitan pengurusan perubahan termasuklah perubahan yang dirancang, tidak dirancang, berstruktur, tidak berstruktur, nyata dan juga perubahan tidak nyata dari kaca mata Islam.
Kursus yang dikendalikan oleh ILIM ini telah mendapat kerjasama daripada penceramah yang berpengalaman iaitu Encik Muhamad Syaari bin Ab. Rahman, penceramah bebas berkepakaran dalam bidang Al-Quran dan hadis.
Semoga kursus ini dapat memberi manfaat serta impak yang besar seterusnya berjaya mencapai matlamat yang disasarkan iaitu melahirkan barisan penjawat awam yang mantap dan berkebolehan khususnya Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (PHEI) JAKIM.